Jentera akar umbi penting untuk kempen PRN-12 – Rohani

SIMANGGANG: Peranan jentera parti di peringkat akar umbi sangat penting untuk menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.
Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jentera tersebut akan membantu menyampaikan maklumat kepada pengundi di luar bandar termasuk warga emas yang tidak mempunyai akses kepada media sosial.
“Kita tidak dapat menjalankan kempen dengan turun padang seperti sebelum ini, akibat penularan pandemik Covid-19.
“Oleh itu, peranan di peringkat akar umbi atau yang kita sebut sebagai ranting sangat penting bagi membantu kita untuk kempen PRN-12 kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Geran Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) di sini, semalam.
Terdahulu,Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh menyarankan agar parti dan calon yang bertanding dalam PRN-12 nanti menggunakan media sosial untuk berkempen bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Menjelas lanjut perkara tersebut, kata Rohani dalam keadaan normal baharu perkara sedemikian perlu dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku peningkatan kes Covid-19 akibat kempen.
“Bagaimanapun, ia bukan satu-satunya cara untuk menentukan kemenangan bagi parti dan calon yang bertanding kerana pada akhirnya kita akan berbalik kepada budi bicara, keyakinan dan kepercayaan pengundi terhadap kerajaan,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita II, Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) jentera parti di peringkat akar umbi juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti dalam berkempen nanti tanpa perlu berhimpun beramai-ramai.
“Apa yang penting adalah pengundi turun mengundi, tahu di mana lokasi mengundi, siapa yang hendak dipilih dan pastikan orang turun mengundi.
“Kita juga akan menyediakan kemudahan pengangkutan sama seperti sebelum ini… tetapi ia perlu dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat,” tegasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau yang hadir semalam telah menyampaikan geran MRP dan PMR berjumlah RM1,053,500 secara keseluruhan kepada 25 penerima.