ARTIKEL

Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Miyashita Ichiro (tengah) berucap ketika mempromosikan makanan laut dari Wilayah Miyagi Jepun semalam. | BERNAMA

Jepun belum putuskan untuk kemuka aduan rasmi ke WTO mengenai China haram import produk makanan laut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Jepun masih belum membuat keputusan sama ada akan memfailkan aduan rasmi kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung tindakan China mengharamkan import makanan laut, susulan pelepasan air terawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi.

Pada penghujung Ogos, Jepun sudah mula melepaskan lebih 1.33 juta meter padu air terawat yang terkumpul di tapak itu sejak bencana nuklear 2011. Pelepasan kedua dijadualkan bermula esok.

“Masih belum diputuskan sama ada kami akan segera memfailkan aduan kepada WTO,” kata Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Ichiro Miyashita dalam sidang akhbar selepas melancarkan acara mempromosikan makanan laut Jepun, sempena lawatan kerja di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berharap isu dengan China itu dapat diselesaikan dalam rangka kerja WTO.

Mengenai kemungkinan lebih banyak negara akan mengharamkan import makanan laut Jepun, Miyashita berkata Jepun bersedia untuk memberikan maklumat yang berkaitan kepada mana-mana negara termasuk Rusia yang turut mempertimbangkan untuk mengikut langkah China.

Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa produk makanan laut Jepun adalah selamat, sambil menambah bahawa sejak proses pelepasan dilaksana, Jepun telah menjalankan pemantauan ketat terhadap air dan hasil laut, paras radioaktif didapati “di bawah had paling rendah”.

Menteri berkenaan turut meredakan kebimbangan bahawa produk pertanian lain dari Jepun tidak terjejas oleh pelepasan air terawat itu.

“Banyak negara faham mengenai apa yang kami lakukan.

Berkenaan dengan Rusia, mereka telah memaklumkan mereka akan mempertimbangkan langkah itu (untuk mengharamkan import makanan laut Jepun) kecuali kami dapat memberikan mereka maklumat pemantauan dan pengukuran.

Kami bersedia untuk memberikan mereka maklumat ini,” katanya.

Miyashita berkata kerajaan akan mengadakan lebih banyak pameran dan program pemadanan perniagaan dalam usaha untuk meningkatkan jualan, serta penggunaan makanan laut Jepun di seluruh dunia.

Beliau berkata walaupun eksport makanan laut pada Ogos telah menurun 19 peratus tahun ke tahun, eksport produk seperti Japanese Yellowtail dan kerang masing-masing meningkat 84 peratus dan 41 peratus tahun ke tahun.

Miyashita dalam lawatan kerja tiga hari bermula semalam untuk menghadiri Mesyuarat kali ke-23 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF 2023) Campur Tiga anjuran Malaysia.

Mengenai pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, beliau berkata mereka telah membincangkan mengenai keselamatan makanan laut Jepun dan langkah seterusnya bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan perdagangan produk pertanian dan perikanan.

“Kami tidak merasakan ada kesan daripada pelepasan air terawat.

Saya telah menjelaskan bahawa makanan laut adalah selamat dan telah meminta sokongan (Malaysia) dan menerima reaksi menggalakkan.

“Bersama-sama kami berharap untuk membangunkan perdagangan antara Jepun dan Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Jumlah korban di Gaza melepasi 30,000

Lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 70,000 lagi cedera akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, menurut Kementerian Kesihatan Gaza

BERITA TERBARU