Jerebu: Bot terpaksa berhenti di tebing sungai

SIBU: Disebabkan kabus tebal ditambah lagi dengan keadaan jerebu, sebuah bot ekspress dalam perjalanan dari Sibu ke Kapit tersadai di tebing Sungai Rajang, pagi tadi.

Menurut sumber Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, bot terbabit berlepas dari Terminal Penumpang Sibu (TPS) pada jam 6.15 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak melibatkan sebarang kecederaan atau perkara serius semasa kejadian.

Sementara itu, Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Richard Tajan ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, beliau belum pasti lagi lokasi sebenar bot terbabit tersadai sama ada di kawasan Kanowit, Song atau masih dalam kawasan Sibu.

“Pihak kita sedang berusaha mengumpul maklumat sama ada kejadian itu disebabkan jarak penglihatan kurang jelas akibat jerebu atau air sungai Rajang surut.

“Saya juga difahamkan ia tidak melibatkan kejadian yang serius seperti kecederaan atau sebagainya,” ujarnya.

Ditanya berapakah jumlah penumpang yang terlibat, Richard tidak berapa pasti dan hanya memberitahu anggotanya dari LSS Kapit telah pun diarah untuk melakukan siasatan sebaik sahaja bot itu tiba di Kapit nanti.

Bot terbabit sepatutnya sampai di Kapit pada jam 9.15 pagi tadi.

Richard juga memberitahu bot terbabit berjaya ditarik sekitar jam 7.40 pagi atas bantuan sebuah bot ekspress lain.