POKOK jering spesies tumbuhan dalam famili Fabaceae banyak ditemui di Asia Tenggara.
Pokok ini merupakan pokok saka yang besar serta rendang dan boleh tumbuh sehingga 10 meter tinggi.
Nama botaninya Pithecellobium jiringa dan ia banyak tumbuh meliar di dalam hutan.
Daunnya bersaiz kecil, dengan daun-daun baharu berwarna ungu.
Batang pokok jering berwarna kemerahan serta licin dan warna kayunya boleh berubah menjadi perang tua apabila ia semakin berusia.
Bunganya berjambak, berwarna putih kuning muda dan amat gebu.
Kulit buah jering pula keras dan berwarna perang keunguan.
Kulit isinya hijau ketika muda dan bertukar warna coklat tua setelah tua.
Buah jering mempunyai rasa pahit serta berbau yang adakala tidak disukai sesetengah orang.
Malah sesiapa yang memakan buah jering akan mengeluarkan air kencing berbau hancing.
Jering sering dimakan sebagai ulam dan agak kurang popular kerana baunya yang tidak menyenangkan.
Pewarna ungu yang didapati daripada lenggai pokok ini dipergunakan untuk mencelup sutera.
Kayu pokok jering biasanya digunakan untuk membuat almari dan perabot lain.
Dari segi perubatan pula, biji jering mengandungi sejenis bahan alkoloid yang memberi rangsangan untuk membuang air kecil.
Untuk mereka yang mengidap kencing manis pula, jering boleh menjadi penawar berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit.
Buah jering juga baik untuk kesihatan jantung dan boleh mengurangkan toksin dalam badan.