KUCHING: Jeti Kampung Boyan-Gersik sedia digunakan setelah projek penaiktarafan yang menelan kos RM918,000 siap sepenuhnya pada Ogos 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, jeti tersebut menjadi penghubung kepada Tebingan Sungai Kuching.

“Bagi penduduk di Kampung Seberang Hilir, jeti ini digunakan sebagai laluan harian untuk pergi ke sekolah dan menguruskan aktiviti harian.
“Dari aspek pelancongan, laluan ini penting untuk memastikan para pelancong dapat datang ke kawasan ini dengan keadaan yang selamat.
“Ia sekali gus, menghubungkan pelancong ke banyak lokasi pelancongan termasuk English Tea House, Air Pancut Darul Hana, Dataran Ibu Pertiwi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media seusai menyempurnakan penyerahan projek jeti Boyan-Gersik di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman menekankan agar orang ramai menjaga kemudahan awam yang disediakan dengan sebaiknya demi kesejahteraan bersama.






