Jika Parlimen dibubar, PRN tidak diadakan serentak

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menyatakan apa-apa apabila ditanya kemungkinan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum sekiranya perkembangan politik terkini membawa kepada pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, keputusan untuk membubarkan Dun akan dibuat pada masa yang sesuai. “Kami akan membuat keputusan apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Integriti di sini semalam.

Abang Johari juga merupakan Pengerusi GPS, gabungan empat parti berpangkalan di Sarawak yang memerintah negeri itu. Selain daripada Parti PBB yang diterajuinya, komponen lain parti GPS ialah SUPP, PRS dan PDP. GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas pihak-pihak yang terlibat membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) berikutan pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan BN hilang kuasa Persekutuan buat pertama kali penubuhannya pada tahun 1973.

Dalam pilihan raya negeri pada 2016, parti itu yang bertanding di bawah simbol BN, memenangi 72 daripada 82 kerusi tetapi perwakilan berkurangan kepada 68, tahun lepas selepas empat Adun diketuai bekas Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh keluar daripada gabungan itu dan menubuhkan PSB.

Tempoh penggal Dun Sarawak dijangka berakhir pada Jun 2021 tetapi pemerhati politik membuat spekulasi pilihan raya negeri boleh diadakan seawal Jun tahun ini.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha GPS Datuk Alexander Nanta Linggi semalam yang memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri, Abang Johari berkata ia dilakukan demi kepentingan negara.

“Tun Mahathir dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri interim. “Anda tidak boleh menimbulkan kekacauan di negara ini. “Ia adalah kestabilan yang penting dan kepentingan rakyat mestilah diutamakan supaya negara stabil,” katanya lagi. – Bernama

Suara Sarawak