KUCHING: Seramai 74 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak selepas pemeriksaan di lapan lokasi sekitar Kuching menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu yang bermula semalam.
Operasi selama dua hari itu turut menyasarkan dua premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian serta membawa kepada rampasan beberapa unit komputer dan telefon bimbit bagi membantu siasatan.


Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi itu melibatkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa yang memeriksa beberapa premis kediaman, rumah teres dan bilik sewa.
“Hasil operasi, seramai 79 individu diperiksa, dan 74 daripadanya ditahan, terdiri daripada 45 lelaki dan 29 wanita,” menurut kenyataan itu.
Daripada jumlah tangkapan, 63 individu merupakan warga Indonesia, diikuti 10 warga China dan seorang warga Kemboja.
JIM Sarawak memaklumkan kesalahan yang dikenal pasti termasuk pelanggaran Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta peruntukan berkaitan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, dua Borang 29 turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
Menurut jabatan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran dan kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang di Sarawak.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.





