MUKAH: Atlet tenis remaja kebangsaan kelahiran Sarawak, Jimmy Liong Kai Long, 20, teruja dan gembira kerana setelah sejak dua tahun gelanggang tenis tidak dibuka untuk perlawanan, kini dibuka untuk kejohanan Piala Tenis Mukah 2022 pada 14 hingga 16 Januari lalu.
Malah, Jimmy yang bakal beraksi di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan depan kini menjadikan perlawanan di Mukah sebagai acara pemanas badan dan persediaan menjadi atlet Sukma Sarawak.
“Saya rasa teruja dan sangat gembira kerana dapat melihat ramai orang kembali bermain, ia satu pengalaman yang terbaik dan saya cukup gembira melihat situasi ini.
“Ini satu kejohanan yang saya sertai untuk memanaskan badan sebelum berentap di Kuala Lumpur bagi kejohanan kebangsaan di sana,” katanya ketika ditemui.
Bintang muda kelahiran Bintulu itu turut menyasarkan untuk memasuki peringkat separuh akhir dan akhir dalam kejohanan di Kuala Lumpur.
“Saya harap keyakinan saya dapat dikembalikan setelah lama tidak bermain sejak pandemik Covid-19.
Di Bintulu, kita tidak mempunyai kemudahan yang cukup besar dan ramai pemain seperti di Mukah.
“Latihan selalu saya lakukan bersama-sama adik. Tidak seperti di Kuala Lumpur, ramai pemain boleh bermain sesama mereka.
Saya harap kejohanan ini akan meningkatkan keyakinan saya,” ujarnya lagi.
Jimmy turut berhadap agar kerajaan terus menyokong pembangunan sukan tenis di Sarawak dan mahu lebih ramai lagi pemain dapat dilahirkan.
“Bagi saya dari segi kemudahan, pemain dan sokongan daripada kerajaan untuk bekerjasama diperlu dipertingkatkan.
“Kerajaan perlu memberi sokongan kepada semua. Kita mulakan era baharu dengan pemain yang mutu kemahiran mereka dapat dipertingkatkan demi masa depan sukan tenis Sarawak dan negara amnya,” tegas Jimmy lagi.