Jiranku heroku

BINTANGOR: Sebuah rumah nyaris ranap dalam kebakaran membabitkan peralatan dapur di Sungai Enchawit, Julau, kira-kira 1.27 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi oleh jirannya yang ternampak asap hitam keluar dari bahagian dapur rumah berkenaan.

“Jiran mangsa kemudiannya memecah pintu rumah tersebut dan berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api sebelum anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Julau tiba di lokasi kejadian,” katanya kepada wartawan.

Menurutnya, pemilik rumah dipercayai terlupa menutup dapur gas selepas memasak makanan untuk anjingnya sebelum keluar.

Ujarnya, mangsa bernasib baik kerana kejadian disedari oleh jirannya yang bertindak pantas dan sempat menyelamatkan rumah itu daripada ranap.

“Anggota dari Balai Bomba Bintangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.27 petang. Setibanya di situ, api sudah dipadamkan sepenuhnya. Bagaimana pun, kita menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan maklumat mengenai kejadian daripada pemilik rumah.

“Setelah memastikan keadaan betul- betul selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai. Sehubungan itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas kehadiran lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Julau yang terlibat sama dalam operasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nicholas menasihatkan orang ramai supaya memeriksa keadaan keselamatan rumah terlebih dulu sebelum meninggalkan kediaman.

“Pastikan api gas dapur ditutup selepas selesai memasak supaya semua dalam keadaan selamat sekali gus mengelak berlaku kebakaran.

“Sebelum bertolak balik ke balai, pasukan bomba sempat melakukan pemeriksaan ke atas tiga unit pili bomba di sepanjang Jalan Rumah Meling dan semuanya dalam keadaan baik,” jelasnya.

Suara Sarawak