ARTIKEL

Jiwa Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali menjelang 16 September, kita akan mendengar ucapan tentang perpaduan, pembentukan Malaysia dan semangat kebersamaan.

Juga tentang Perjanjian Malaysia (MA63).

Bendera dikibarkan dan pelbagai acara dianjurkan.

Namun selepas sambutan selesai, sejauh manakah kita benar-benar memahami makna Hari Malaysia?

Adakah 16 September sekadar satu lagi cuti umum, atau tarikh yang mengingatkan kita tentang asas kelahiran negara ini?

Adakah rakyat Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia turut merasai keghairah rakyat di Sarawak dan Sabah menjelang sambutan Hari Malaysia?

Hakikatnya, Malaysia tidak terbentuk secara kebetulan. Negara ini lahir melalui rundingan, persetujuan dan komitmen bersama.

MA63 ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara atau Sabah, Sarawak dan Singapura. Persekutuan baharu bernama Malaysia kemudiannya dibentuk pada 16 September 1963.

Inilah mesej pertama yang perlu difahami oleh seluruh rakyat bahawa Malaysia dibina atas semangat perkongsian.

Sabah dan Sarawak bukan sekadar dua negeri yang muncul kemudian dalam perjalanan sejarah negara. Kedua-duanya merupakan wilayah yang bersama-sama mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia.

Pemahaman ini penting kerana bahawa yang kita gunakan turut mencerminkan cara kita melihat kedudukan satu sama lain. Jika asas sejarah pun disalahfahami, sukar untuk kita membina rasa saling menghormati.

Mesej kedua ialah MA63 tidak sekadar disenaraikan sebagai dokumen milik Sabah dan Sarawak sahaja.

Dokumen itu milik seluruh rakyat Malaysia kerana daripadanya lahir negara yang kita diami sekarang.

Rakyat di Semenanjung juga perlu memahami kandungannya, latar belakang dan harapan atau aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak ketika Malaysia dibentuk.

Begitu juga rakyat di Borneo perlu melihat perjuangan memenuhi MA63 sebagai usaha memperkukuh Persekutuan, bukannya menjauhkan diri daripada Malaysia.

Menuntut pelaksanaan hak yang dipersetujui bukanlah tindakan menentang perpaduan.

Sebaliknya, janji yang dihormati akan melahirkan kepercayaan, manakala kepercayaan ialah asas perpaduan yang berkekalan.

Kerajaan Persekutuan sendiri menegaskan bahawa MA63 perlu dihormati dan ditunaikan.

Perpaduan tidak boleh dibina hanya dengan slogan, pelukan di pentes atau iklan televisyen.

Perpaduan perlu berasaskan keadilan, penghormatan dan kesediaan menunaikan komitmen.

Pertelingkahan dalam sesebuah persekutuan biasanya berpunca daripada ketidakseimbangan pembahagian kuasa, hasil dan pembangunan; pencabulan autonomi; diskriminasi bahasa, agama atau etnik; dominasi Kerajaan Persekutuan; serta kegagalan menghormati perjanjian pembentukan negara.

Perasaan terpinggir kemudiannya menyuburkan nasionalisme wilayah dan tuntutan berpisah.

Pakistan Timur, misalnya, menjadi Bangladesh pada 1971 akibat diskriminasi politik, bahasa dan ekonomi.

Kesatuan Soviet yang Yugoslavia berpecah kerana krisis ekonomi, kelemahan pemerintahan pusat dan kebangkitan nasionalisme etnik.

Czechoslovakia pula berpisah secara aman menjadi Republik Czech dan Slovakia pada 1993.

Sudan Selatan merdeka pada 2011 selepas konflik mengenai kuasa, sumber, agama dan hak menentukan nasib sendiri.

Bagaimanakah jurang antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung dapat dirapatkan?

Kita perlu merapatkan jurang pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi.

Masih terdapat masyarakat di Sabah dan Sarawak yang berhadapan dengan masalah jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, Internet, sekolah dan kemudahan kesihatan.

Jangan sampai seorang murid di pedalaman terpaksa bergelut mendapatkan capaian Internet, sedangkan rakan-rakannya di bandar menikmati teknologi digital terkini.

Dalam sebuah negara yang sama, tempat kelahiran tidak sepatutnya menentukan mutu pendidikan dan peluang masa depan seseorang.

Kos pengangkutan dan hubungan antara wilayah perlu dipertingkatkan.

Harga tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, terutama pada musim perayaan, sering menjadi rungutan.

Jangan sampai harga tiket satu hala ke Kuala Lumpur sampai mencecah RM1,000.

Bagaimanakah rakyat hendak saling mengenali jika perjalanan untuk bertemu pun terlalu mahal?

Hubungan udara, laut dan digital bukan semata-mata soal ekonomi.

Semuanya merupakan jambatan perpaduan.

Mobiliti yang lebih mudah akan menggalakkan pelancongan domestik, pertukaran pelajar, perdagangan, pekerjaan dan pergaulan sosial.

Jurang pengetahuan perlu ditutup. Masih banyak rakyat Semenanjung yang kurang memahami sejarah, budaya dan realiti kehidupan masyarakat Sabah dan Sarawak.

Ada yang menganggap kedua-dua wilayah itu satu kelompok yang seragam, sedangkan kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan adatnya amat luas.

Generasi muda di Sabah dan Sarawak juga perlu mengenali sejarah serta masyarakat Semenanjung secara lebih sembu.

Buku teks sekolah harus menerangkan pembentukan Malaysia dengan lebih lengkap, jujur dan menarik, bukan sekadar beberapa perenggan untuk dihafal sebelum peperiksaan.

Program pertukaran murid, guru, mahasiswa, wartawan, seniman dan penjawat awam antara wilayah perlu diperluas.

Bayangkan jika seorang murid dari Johor dapat tinggal bersama keluarga angkat ikan di Kapit, manakala murid dari Miri berpeluang memahami kehidupan masyarakat Orang Siam di Kedah?

Pengalaman langsung dapat memecahkan tembok prasangka yang tidak mampu dihapuskan melalui ucapan rasmi. Kita lebih mudah menghormati orang lain apabila mengenali kehidupan mereka.

Ya, tak kenal maka tak cinta.

Media juga mempunyai tanggungjawab besar.

Sabah dan Sarawak tidak seharusnya muncul dalam berita nasional hanya ketika berlaku pilihan raya, bencana atau pertikaian MA63.

Kisah kejayaan, inovasi, seni, sastera, tokoh, makanan dan kehidupan rakyat di kedua-dua wilayah perlu diberi ruang secara berterusan.

Media tempatan perlu membantu rakyat memahami isu nasional melalui perspektif yang matang dan tidak bersifat kewilayahan sempit.

Untuk memastikan Hari Malaysia benar-benar dihayati, sambutannya perlu bergerak keluar dari dewan rasmi.

Sekolah boleh mengadakan simulasi rundingan pembentukan Malaysia, pameran sejarah, tayangan dokumentari, kuiz MA63 dan dialog bersama tokoh.

Universiti boleh menganjurkan wacana yang mempertemukan pandangan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Komuniti pula boleh memperkenalkan makanan, muzik, tarian, bahasa dan kisah rakyat daripada seluruh negara.

Lebih penting, sambutan Hari Malaysia wajar diadakan secara bergilir dan meluas di bandar serta kawasan luar bandar termasuk di Semenanjung.

Janganlah rakyat sekadar menjadi penonton kepada acara yang dipenuhi ucapan panjang.

Biarkan mereka menjadi peserta yang berkongsi pengalaman, persoalan dan harapan terhadap Malaysia.

Akhirnya, MA63 bukan sekadar dokumen lama yang disimpan di arkib. MA63 ialah janji, amanah dan kompas moral negara.

Hari Malaysia pula bukan sekadar kisah tentang apa yang berlaku pada 16 September 1963, tetapi ruang untuk kita bertanya: adakah setiap rakyat hari ini benar-benar berasa dihormati, dilibatkan dan mendapat peluang yang adil?

Malaysia akan menjadi lebih kukuh bukan apabila semua wilayah menjadi sama, tetapi apabila perbezaan dihormati dan hak setiap wilayah dipelihara.

Semangat 16 September ialah kesediaan untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan bergerak menuju masa depan sebagai rakan dalam sebuah Persekutuan.

Itulah jiwa Malaysia yang perlu kita hidupkan — bukan hanya sehari, tetapi setiap hari.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang ingin melihat perpaduan nasional dan kesepaduan sosial terus diperkukuhkan.

BERITA LAIN

Sepakat bangunkan kampung

SOAL membangunkan sesuatu kawasan dengan niat untuk menjadikannya lebih teratur, selesa dan terus berkur berlanjutan bukan perkara mudah. Apatah lagi apabila pembangunan itu melibatkan tanah.

Peperiksaan medan bina diri

TEPAT jam 3.30 petang ini, mata seluruh negara akan tertumpu ke Dewan Rakyat apabila Belanjawan 2027 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagi

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap