KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi situasi banjir di seluruh negara dengan menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan serta kebajikan komuniti terjejas terus terpelihara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat ini PPS mempunyai bekalan keperluan, kelengkapan serta petugas yang mencukupi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti terjejas akibat banjir.
“Kementerian sentiasa berwaspada dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang perkembangan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Setakat jam 4.30 petang hari ini, sebanyak lapan PPS telah dibuka di lima negeri melibatkan 219 mangsa daripada 93 keluarga yang dipindahkan sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Program Sumbangan Kembali ke Sekolah 2026 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Menurut Nancy, JKM telah mengambil tindakan awal dan menyeluruh termasuk pembukaan PPS, pelaksanaan pendaftaran kendiri mangsa melalui sistem MyIBJKM, serta pengagihan keperluan asas kepada mangsa terlibat.
“Bekalan di semua PPS dilaporkan mencukupi untuk memenuhi keperluan mangsa yang dipindahkan.
“Isu kesiapsiagaan tidak timbul ketika ini.
Semua pegawai juga telah diarahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran JKM di setiap daerah di seluruh negara membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan kepada komuniti terjejas.
Menurutnya, kementerian akan terus memantau keadaan secara rapi dengan laporan harian diterima pada jam 8 pagi, termasuk maklumat serta amaran cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang dijangka kekal berkuat kuasa sehingga Khamis.





