ARTIKEL

RIANG... Fatimah (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.

JKM Sarawak satu-satunya di seluruh negara anjur majlis Sejambak Kasih sempena semua perayaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak merupakan satu-satunya di seluruh negara yang menganjurkan majlis Sejambak Kasih sempena perayaan yang disambut di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata penerimanya terdiri daripada mereka yang menerima bantuan bulanan daripada JKM.

“Bagi Daerah Dalat, seramai 1,452 penerima bantuan daripada JKM Sarawak dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,891,550.

“Manakala, penerima beragama Islam seramai 602 orang, tetapi hanya 204 orang dijemput untuk menerima sumbangan sempena Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2024, Majlis Penyampaian Sumbangan Bagi Aktiviti Ramadan Masjid dan Surau Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat dan Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 DUN Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat di sini, hari ini.

Ujarnya, penerima akan menerima wang tunai berjumlah RM100 dan hamper, manakala bagi yang tidak menghadiri majlis tersebut, wang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima.

“Objektif pemberian sumbangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan penerima dalam persediaan menyambut hari perayaan.

“Selain itu, menceriakan ahli keluarga serta penerima bantuan sekali gus menambah barangan keperluan sedia ada,” jelasnya.

Sehubungan itu, Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, turut menyampaikan cek MRP Fasa 1 DUN Dalat kepada 29 penerima.

Bagi sumbangan aktiviti Ramadan Masjid dan Surau kawasan Dalat, sebanyak sembilan masjid dan 11 surau yang menerimanya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, pada kali ini beliau tidak mengadakan program ziarah ke masjid dan surau seperti tahun sebelum ini.

“Pada kali ini, kita akan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan di satu lokasi sahaja.

“Penerima sumbangan ini telah dikenal pasti oleh Skuad Sayang Dalat dan mereka bukan penerima bantuan JKM,” katanya lagi.

Selesai majlis Sejambak Kasih, beliau menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf di kawasan DUN Dalat di Masjid At-Taqwa, Oya.

Jelasnya, seramai 493 penerima sumbangan telah diraikan dalam majlis tersebut dan menerima wang ringgit serta kain sumbangan daripada Syarikat Jasmin Jawahar.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng, dan Pemilik Syarikat Jasmin Jawahar, Hidayatulla Basher.

PRIHATIN… Hidayatulla (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima disaksikan oleh Fatimah (tiga kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf DUN Dalat di Masjid At-Taqwa, Oya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU