
KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan terus membantu tiga anak kepada mendiang Damian Senin dan Ronwina Mambai termasuk memberikan khidmat kaunseling.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut penting untuk memantau emosi kanak-kanak berkenaan.
“Melihat si kakak Elisa Olivia Damian yang baharu berusia 10 tahun, saya khuatir sekiranya tiba-tiba dia berasa bertanggungjawab kepada adik-beradiknya (Joseph Rayyan Damian, 8 dan Magdalena Damian, 2) sehingga lupa dirinya juga adalah kanak-kanak.
“Selain itu, kita juga bimbang sekiranya Elisa enggan ke sekolah atas alasan menjaga adiknya yang masih kecil itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian “Sarawak Women of Tomorrow 2022 (Swot-22) – Bootcamp” di Hotel Pullman Kuching, hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga akan memantau bagaimana kanak-kanak terbabit dapat menyesuaikan diri dengan keluarga baharu.
“Ini yang kita mahu, kerana sokongan keluarga sangat penting. Kita harap mereka dapat menyesuaikan diri kerana keputusan untuk menempatkan mereka di rumah anak yatim bukan pilihan terbaik,” tegasnya.
Untuk rekod, Pada 10 Mac lalu, mendiang Simon dan Ronwina meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di dalam bilik air di sebuah flat di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands.
Ketiga-tiga anak mendiang telah dibawa pulang ke Sarawak pada 16 Mac lalu.