KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri mengisytiharkan empat kluster baharu iaitu di Daerah Beluru, Sebauh, Bintulu dan Selangau.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, kluster Long Jegan, Beluru melibatkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu sebuah sekolah rendah di Long Jegan, dalam Daerah Beluru.
“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-26,339 merupakan seorang cikgu lelaki berumur 25 tahun dari sekolah tersebut yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 22 April 2021.
“Kluster kedua ialah kluster Sungai Mas, Sebauh yang merupakan satu kluster komuniti dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Mas, Sebauh.
“Kes indeks (No. Kes: 19,609) kepada kluster ini dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah klinik swasta di Bintulu apabila saringan RTK Antigen kes ini telah didapati positif dan telah dirujuk ke hospital Bintulu yang mengesahkan beliau positif Covid-19 melalui saringan rT-PCR,” jelasnya.
Tambahnya, kluster ketiga ialah kluster Batu 25, Bintulu merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Batu 25, Jalan Miri-Bintulu di Daerah Bintulu.
“Kes indeks (No. Kes: 31,098) kepada kluster ini adalah seorang pelajar berumur sembilan tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah klinik kesihatan swasta pada 22 April 2021.
“Kes dikatakan telah melakukan kunjungan ke rumah panjang tersebut bersama keluarga beliau pada 17 April 2021 semasa sedang mengalami tanda dan gejala jangkitan,” tegasnya.
Ujarnya lagi, kluster keempat ialah kluster Sungai Nirai, Selangau merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Nirai dalam Daerah Selangau di Bahagian Sibu.
“Kes indeks (No. Kes: 26,492) kepada kluster ini seorang perempuan berumur 25 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hopsital Sibu pada 26 April 2021 setelah dikesan reaktif saringan RTK Antigen di Klinik Kesihatan Selangau sebelum dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut pada 22 April 2021.
“Kes indeks yang sedang sarat mengandung mula mengalami gejala pada 11 April 2021 dan hanya melakukan pergerakan di sekitar rumah panjang sahaja,” ujarnya.