JKR Sarawak capai banyak kejayaan sejak penubuhan pejabat wilayah

SIBU: Sejak penubuhan pejabat wilayahnya lapan tahun lalu, Jabatan Kerja Raya Sarawak telah mencapai banyak kejayaan dalam penyampaian projek yang diamanahkan kepadanya.

Ini menjadikan Pejabat Wilayah Selatan, Pejabat Wilayah Tengah dan Pejabat Wilayah Utara JKR tersebut sangat relevan dengan pembangunan di negeri ini.

Menurut pengarahnya Datuk Ir. Zuraimi Sabki, 625 projek berjaya disiapkan merangkumi 208 projek jalan raya yang 874km adalah jalan raya baharu manakala 1,030km melibatkan naik taraf jalan; 32 jambatan baharu; empat projek membaiki jambatan; 36 projek dermaga dan jeti; 265 projek bangunan (176 bangunan baharu, 89 naik taraf bangunan lama); dan 68 projek bekalan air (sebelum Jabatan Bekalan Air Luar Bandar ditubuhkan).

“Saya percaya kejayaan pelaksanaan projek yang saya nyatakan itu adalah hasil kepimpinan ketua projek memastikan semua Pejabat Wilayah Selatan, Tengah dan Utara berfungsi dengan baik dan mencapai objektif pelaksaan projek,” katanya.

Beliau berucap semasa  majlis JKR Sarawak Regional Night 2019 sempena sambutan ulang tahun ke-8 penubuhan Pejabat Wilayah JKR Sarawak di sini malam ini.

Mengimbau kembali masa sebelum penubuhan pejabat wilayah itu Zuraimi berkata, pegawai JKR dari kawasan luar bandar akan mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan kelulusan bagi sesuatu projek di ibu pejabat JKR di Kuching.

“Kalau dari Kapit, terpaksa menggunakan bot ekspres ke Sibu sebelum menaiki belon (kapal terbang) untuk ke Kuching,” katanya sambil menambah dengan penubuhan pejabat wilayah yang diberikan kuasa meluluskan projek pembangunan infrastruktur melebihi RM500,000, penyampaian sesuatu projek itu menjadi lebih mudah dan cepat.

Pada ketika ini, beliau berkata pihak Pejabat Wilayah sedang melaksanakan 155 projek yang berjumlah RM5.8 bilion iaitu 55 projek jalan raya, 25 projek jambatan dan dermaga serta 75 projek bangunan.

Daripada komposisi itu katanya, 53 projek dilaksanakan di Wilayah Selatan, 75 projek di Wilayah Tengah dan 36 projek di Wilayah Utara.

Cabaran berikut untuk pejabat wilayah katanya adalah bertanggungjawab bagi baki kerja projek Lebuh Raya Pan Borneo dan bekerjasama dengan perunding pengurusan projek (PMC) yang akan dilantik oleh pihak Kementerian Kerja Raya.

Sehubungan itu beliau menyeru agar semua kakitangan di pejabat wilayah terbabit berusaha untuk mengekalkan prestasi dan terus menambah baik lagi kecekapan di dalam penyampaian projek. – Bernama