ARTIKEL

Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

JKR terima arahan daripada MOF, cadangan pelantikan kontraktor Projek Jana Wibawa – Saksi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima arahan daripada Kementerian Kewangan (MOF) melalui surat cadangan pelantikan kontraktor, bagi setiap projek pembinaan di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan di Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan (CKUB) JKR, Datuk Zulkipeli Yamat, 60, berkata arahan itu diterima bermula daripada Mesyuarat Penyelarasan Bagi Pelaksanaan program itu, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Zulkefly Sulaiman, ketika itu di Kementerian Kewangan pada 8 Disember 2020.

“Perolehan kontrak di bawah program Jana Wibawa ini melibatkan dua jenis perolehan, iaitu perolehan secara rundingan terus dan tender pra-kelayakan (peringkat kedua).

“Kedua-dua jenis perolehan ini juga mempunyai dua jenis tender, iaitu secara konvensional serta reka dan bina,” katanya.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Bagi projek lantikan secara tender pra-kelayakan, Zulkipeli berkata punca kuasa juga bermula daripada surat cadangan daripada Kementerian Kewangan kepada JKR.

Beliau berkata, setelah menerima surat cadangan pelantikan kontraktor secara tender pra-kelayakan, CKUB akan mengeluarkan surat pelawaan secara berasingan kepada syarikat disenaraikan, mengaturkan taklimat untuk lawatan tapak dan menyerahkan dokumen pelawaan untuk mengemukakan tawaran harga.

“Dokumen tawaran akan dihantar kepada semua petender ke Cawangan Pengurusan dan Perolehan Harta (CPPH), Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagaimana ketetapan dalam surat pelawaan pada tarikh tutup tender,” katanya, yang menambah bahawa penilaian syarikat akan dibuat selepas tarikh tutup tender.

Zulkipeli, yang mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak November 1992, berkata setelah menerima kelulusan muktamad, nama petender dan harga ditawarkan oleh Kementerian Kewangan, CKUB akan menyediakan surat permohonan penurunan kuasa menteri, surat setuju terima (SST) berserta surat iringan dan surat pelantikan pegawai penguasa.

“Penyerahan SST kepada syarikat tersebut hanya akan dibuat setelah semua dokumen di atas telah sempurna ditandatangani pegawai yang diberi kuasa.

Setelah syarikat menerima SST, CKUB akan menyediakan dokumen kontrak antara syarikat dan Kerajaan Malaysia.

Bagi urusan pemantauan projek dan tuntutan kerja, ia akan dipantau dan dikendalikan oleh Pejabat Cawangan Jalan JKR,” katanya.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada Kerajaan Malaysia secara pra-kelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Bhd milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Bhd Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat, termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Bhd Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU