ARTIKEL

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri | Foto Fail: BERNAMA

Johor, Kedah pertahan gelaran juara pecut berpasukan lelaki, wanita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NILAI, Negeri Sembilan: Trio wanita Kedah berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara pecut berpasukan di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Ia merupakan kejuaraan ketiga pasukan dari negeri ‘jelapang padi’ itu, yang diketuai bintang trek berbasikal kebangsaan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, selepas turut mengungguli acara itu bagi edisi 2022 dan 2023.

Aksi penentuan pingat emas menyaksikan Kedah dibarisi Nurul Izzah, Nurul Nabilah Mohd Asri dan Nur Fitrah Shaari mencatatkan 52.696 saat (s) untuk mengatasi trio Pulau Pinang yang dibarisi Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Intan Nur Irdrisha Abdul Razak dan Nurul Eliana Syafika Azizan (52.886s).

Mengulas tentang perlumbaan tersebut, Nurul Izzah mengaku pasukan Pulau Pinang memberi tentangan sengit kepada skuadnya untuk mempertahankan kejuaraan.

“Sebelum ini, Pulau Pinang tidak hantar pelumba utama, hari ini mereka kuat, pusingan kedua mereka pintas kami.

“Pelumba muda mereka, Umairah, juga beri tentangan sengit tapi saya tak putus asa untuk pertahankan kejuaraan ketiga ini,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan tersebut.

Sementara itu, skuad lelaki Johor yang dibarisi Muhammad Ridwan Saharom, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Nabil Wafiq Zamri terus mendominasi acara pecut berpasukan lima tahun berturut-turut selepas mengatasi skuad Buceros dari Sarawak.

Johor mencatatkan masa 45.880s manakala Sarawak merakamkan masa 47.116s.

Kedah merangkul pingat gangsa (46.977s) selepas mengatasi Selangor (51.814s).

Dalam pada itu, pasukan wanita Terengganu, yang diketuai Nur Aisyah Mohamad Zubir, menyambar emas bagi acara 3 kilometer (km) kejar-mengejar untuk meninggalkan skuad Kedah di kedudukan kedua.

Nur Aisyah dibantu oleh rakan sepasukan, Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Md Zahiruddin dan Nur Airien Wadhiah Mohd Adni, manakala pasukan Kedah diwakili Phi Kun Pan, Nur Fitah Shaari, Nurul Nabilah Mohd Asri dan Anis Natasya Ahmad.

Terengganu turut membolot emas acara 4km kejar mengejar lelaki yang dibarisi Muhammad Afiq Iskandar Hasyim, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, Ahmad Irfan Abdul Hamid dan Mohd Aiman Haiqal untuk mengetepikan Johor dan Kedah di tempat ketua dan ketiga. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU