Jom meriahkan Pentas Krismas SIBUfm 2019

SIBU: Orang ramai sekitar Sibu dijemput hadir bagi sama-sama menyaksikan sendiri Pentas Krismas SIBUfm 2019 yang akan diadakan di Pintu Utama Wisma Sanyan pada 24 Disember ini dari jam 7 malam hingga 10.30 malam.

Program yang merupakan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Cawangan Sibu bersama dengan Pusat Khidmat P212 Sibu dan Wisma Sanyan selaku penganjur lokasi ini turut menjemput Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew bagi merasmikan majlis.

Menurut Penerbit Program, Lucia Thomas Kasau, program tersebut merupakan aktiviti tahunan SIBUfm yang bertujuan bagi meraikan kemuncak malam Krismas bersama-sama dengan pelbagai lapisan masyarakat sekitar Sibu.

“Menerusi Pentas Krismas ini kita dapat menghimpunkan semua lapisan masyarakat tidak kira latar belakang, agama dan adat dapat bersama-sama meraikan sambutan Krismas pada tahun ini di Sibu.

“Program ini juga merupakan antara komitmen kita sebagai stesen radio yang ada di di zon tengah ini dalam memberikan hiburan kepada semua pendengar dan ini juga dalam pada masa yang sama menjadi platform kepada kami semua di sini dapat bertemu dengan semua pendengar setia kami,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelas Lucia yang juga selalu penyampai radio di SibuFm menjelaskan antara artis yang akan membuat persembahan pada malam tersebut ialah Hellena, Dicky J Ding, Ricky El, Eisner Nala, Josephine Jalin, Alex Moh, dan juga termasuklah pelawak Bunyau dan Mujap.

“Kita mensasarkan lebih 1000 pengunjung akan hadir pada kali ini kerana kita juga ada pelbagai persembahan sampingan seperti persembahan tarian dan juga tidak ketinggalan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

“Diharapakan semua warga Sibu dapat bersama-sama memeriakan malam kemuncak Krismas pada kali ini, datang awal bagi mengelakkan kesesakan,” jelasnya.

Suara Sarawak