KUCHING: Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia (SUKM) Peringkat Negeri Sarawak 2022 bakal berlangsung di Dataran Kipas, Miri pada 25 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat pelbagai aktiviti akan diadakan sempena program berkenaan.
“Ia akan diadakan dari 7 pagi hingga 5 petang, termasuk pameran agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pejabat Kesihatan, Kementerian Perpaduan Negara, kementerian kami dan banyak lagi.
“Terdapat reruai ‘Rumah Kami’ yang akan mempamerkan tentang adat perkahwinan, makanan, budaya, alat muzik dan sebagainya – pengunjung boleh melihat, mencuba dan merasai sendiri apa yang ditawarkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perbincangan bersama-sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2, dekat sini hari ini.
“Aktiviti sedemikian penting untuk kita mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain kerana ia dapat menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
SUKM juga merupakan salah satu pengisian program lawatan kerja Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique ke Sarawak pada 23 hingga 25 September ini.
Selain itu, program yang berlangsung selama tiga hari tersebut juga akan diisi dengan Majlis Jamuan Malam Berambeh Mesra, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara dan Lawatan ke Kampung Kuala Sibuti.