Jom serbu Program Rindok Digital @Pusa, 7 hingga 9 Februari depan

PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor menjemput dan mempelawa orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Program Rindok Digital @Pusa yang akan berlangsung pada 7 sehingga 9 Februari depan di Dataran Tandang Sari.

Katanya, Pekan Pusa cukup bertuah kerana dipilih oleh Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) sebagai lokasi kedua penganjuran program Rindok Digital selepas Simunjan.

“Ini peluang terbaik untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin Kerajaan Sarawak dan rakyat di Bahagian Betong amnya dan Daerah Pusa khususnya.

“Lebih mengujakan, pemimpin nombor satu Sarawak iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka hadir merasmikan program.

“Beliau sekaligus turut menunaikan solat fardu Jumaat bersama muslimat di Masjid Rahmaniah,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama kerana pelbagai pengisian disusun atur sepanjang tiga hari itu kelak.

“Banyak agensi kerajaan turun padang mengadakan pameran selain aktiviti-aktiviti lain yang cukup menarik,” ujarnya.

Selepas perasmian pada 7 Februari, Rindok Digital @Pusa akan diisi dengan pertandingan karaoke kategori bebas menerusi program Bakat Kamek @Pusa yang menawarkan hadiah keseluruhan RM1,200. Johan bakal membawa pulang RM500.

Selain itu pertandingan e-sukan (Mobile Legend) yang menyediakan hadiah keseluruhan RM2,900. Juara bakal membawa pulang RM1,000.

Pada sebelah malam, SMA dijangka menampilkan penceramah terkenal tanah air Ustaz Syamsul Debat dalam sesi ceramah agama yang akan diselitkan dengan program Malam Pusa Berselawat.

Menjelang hari berikutnya akan diadakan randau pertanian bersama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED), kempen makan buah-buahan tempatan, pertandingan menangkap ikan keli, forum ‘Apa ada di Pusa’ dan Battle of The Bands.

Untuk Battle of The Bands, hadiah keseluruhan RM4,700 ditawarkan dan sang johan bakal membawa pulang RM1,500.

Pada hari terakhir, acara menarik yang akan menemui pengunjung ialah kejohanan warisan budaya Melayu dengan aktiviti utamanya bergendang selain program ceramah digital tentang Sarawak ID, Sarawak Pay, Pusat Kecemerlangan Teknikak Sarawak (CENTEXS) dan Pustaka PANDEi.

Sepanjang tiga hari itu juga, banyak agensi dijangka mengadakan pameran antaranya pihak SMA sendiri, CENTEXS, MANRED, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Pustaka PANDEi, Sarawak Pay, Positive Mind dan pelbagai lagi.

Justeru, orang ramai dipelawa untuk berkunjung ke Pekan Pusa.

RAZAILI GAPOR

Suara Sarawak