Joseph fokus kecergasan

TONGGAK Kuching City FC, Joseph Kallang Tie, mahu memastikan tahap kecergasannya mencapai kemuncak sebelum saingan Liga Malaysia disingkap pada 5 Mac depan.

“Kini tinggal kurang sebulan lagi kami akan mengharungi saingan Liga Premier.

“Jadi, kami mesti cergas sepenuhnya, untuk memberikan tentangan hebat kepada para pesaing,” ujar Joseph ketika ditemui arena Sukan Suara Sarawak.

Oleh itu, menurut bekas pemain Malaysia itu, tempoh yang ada sekarang ini mesti dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita akui saingan Liga Premier 2021 pasti lebih sukar daripada 2020… jadi kami mesti menguasai asasnya, iaitu stamina,” ujar Joseph yang pernah menyarung jersi tiga gergasi, Pahang, Selangor dan Terengganu.

Jurulatih baharu Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim amat menekankan aspek kecergasan dalam sesi latihan.

Malah, sebelum tiba di Kuching beliau memberi pesanan kepada penolong jurulatih, Ideris Untong untuk memastikan para pemain cergas.

Beliau mahu setiap pemain bekerja keras, terutama dalam aspek stamina, sebagaimana barisan pemain Sarawak etika era Alan Vest pada 1991 hingga 1998.

Irfan mahu anak-anak buahnya mencontohi semangat dan disiplin pemain Sarawak ketika itu.

Kuching City kini dalam rangka persiapan akhir, sebelum saingan bermula. Hari Rabu, pihak pengurusan akan melancarkan jersi baharu pasukan.