Oleh Nurul Shima
BINTULU: Terdedah dengan aktiviti kemasyarakatan sejak kecil memupuk minat Joyce Morris Kapong untuk terus menyumbang baktinya kepada masyarakat di pedalaman Lundu, Bario dan Limbang.
Berkhidmat sebagai guru bahasa di CALC@UPMKB, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), dia sanggup menempuh jalan tanah dan hutan demi minat kepada aktiviti kemasyarakatan.
Menurutnya, penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan bermula apabila menemani ibu bapanya melawat komuniti di pedalaman Lundu, Bario dan Limbang.
“Apabila menemani mereka, saya merasai sendiri keseronokan itu dan membantu komuniti di sana sebaik mungkin yang kami mampu,” katanya.
Menurut Joyce lagi, penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan hingga hari ini banyak mengajarnya untuk terus memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan kumpulan etnik di Bumi Kenyalang.
Sebagai anak jati Kuching suku kaum Kelabit, katanya, dia amat menitikberatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.
“Mungkin ada yang menganggap perpaduan ini sebagai sesuatu yang klise, tetapi hakikatnya, ini mendorong saya untuk terus melaksanakan aktiviti komuniti di sini
“Kami terbuka untuk mempelajari dan menerima tradisi serta cara hidup masing-masing sambil berusaha membantu satu sama lain untuk maju dalam kehidupan.
Dia mengakui, semakin aktif bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan, lebih banyak nilai tambah dimilikinya selain terus meneroka khazanah dan kepelbagaian budaya serta bangsa di Sarawak.
“Saya yakin perpaduan ini wujud disebabkan wujudnya sikap saling menghormati yang kukuh dalam jati diri kami.
Nilai murni inilah membolehkan kami hidup sebagai satu komuniti yang erat,” katanya.
Setakat ini, dia tidak dapat melupakan kenangannya ketika menjalankan aktiviti kemasyarakatan di SK Ulu Lubai (Sekolah Berprestasi Tinggi, Kohort Dua), Limbang pada 2012.
Berkongsi pengalaman jelasnya, perjalanan ke SK Ulu Lubai tidak mudah kerana selepas enam jam memandu dari Bintulu ke Limbang, pasukannya perlu melalui Brunei dan terpaksa menelusuri hutan dan jalan tanah untuk sampai ke sekolah.
“Di sana, kami tinggal di sekolah itu selama beberapa hari, dan menjalankan aktiviti bersama-sama murid, guru dan ibu bapa serta melawat rumah panjang sekitar untuk lebih mengenali komuniti tersebut.
“Kami melihat bagaimana komuniti itu menjadi asas yang kuat kepada kecemerlangan anakanak mereka yang bersekolah di SK Ulu Lubai,” katanya.
Jelasnya, jalinan persahabatan dengan komuniti perlu dieratkan kerana kepercayaan dan akauntabiliti boleh berkembang.
Sempena Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Joyce mendoakan semoga rakyat Malaysia terus merasai segala nikmat yang telah dianugerahkan dan tiada seorang pun individu ketinggalan dalam arus kemajuan yang sedang berlaku ketika ini.