
KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan mengumumkan keputusan sama ada sambutan Tahun Baru Cina 2022 dibenarkan di Sarawak dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Dr Sim Hui Kian berkata, keputusan itu akan diumumkan oleh Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah.
“Pengerusi telah mendapat surat rayuan dan JBPN akan mengadakan mesyuarat bagi melihat perkara tersebut.
“Ia termasuk menilai penyelarasan terhadap keputusan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Keputusan sama ada Tahun Baru Cina diraikan atau tidak, ia terpulang kepada JPBN untuk menentukannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Midway di sini, hari ini.
Menteri Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu juga mendedahkan Sarawak kini dalam progres membuka sektor-sektor tertentu bagi meneruskan kehidupan secara normal seperti dahulu.
Namun tegasnya, usaha tersebut perlu diteliti dengan jelas dan mengikut perkembangan semasa pandemik Covid-19.
“Kita cuba untuk kembali pada kehidupan biasa namun secara perlahan-lahan di samping memastikan masyarakat dalam keadaan selamat,” katanya.