JPBNS: PKPB di Sarawak dilanjutkan sehingga 29 Mac

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak akan dilanjutkan untuk tempoh 14 hari berkuat kuasa 16 Mac hingga 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan tersebut dilaksanakan setelah melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang semakin meningkat.

“JPBNS telah memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak berkuat kuasa 16 Mac jam 12.01 pagi hingga 29 Mac ini jam 11.59 malam,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Dalam pada itu, Uggah menyatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah ditamatkan bagi Skim Penempatan Semula Sentosa, Fasa 2, Sibu.“Keputusan itu dibuat susulan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

“Di samping itu, tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” jelasnya.

Suara Sarawak