KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan terhadap kenderaan berat yang menggunakan perkhidmatan feri secara haram, kata Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu sebuah lori yang merosakkan palang penanda aras ketinggian yang ditetapkan di pangkalan feri Batang Igan, Mukah, Jumaat lalu.
Norizan berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan akan memastikan perkara yang sama tidak akan berulang.
Katanya, pihaknya akan membuat pemeriksaan dari dan mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu menggunakan feri secara haram.
“Kita membuat pemeriksaan dari Kuching hingga ke Mukah untuk memastikan perkara ini dapat dibendung.
“Malah, kita juga akan ke lokasi dan pantau dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media sempena Op Hari Raya JPJ di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya mahu tindakan diambil terhadap kenderaan muatan berat yang menggunakan perkhidmatan feri secara haram.
Kata Adun Jemoreng itu dalam satu hantaran Facebook, beliau memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPJ mengambil tindakan tegas ke atas pemandu-pemandu lori terbabit kerana merosakkan harta benda awam dan menyusahkan orang ramai.
“Lori seperti ini patut diharamkan dan tidak dibenarkan menggunakan mana-mana feri dan jalan raya di seluruh Sarawak kerana menyusahkan rakyat,” katanya lagi.