JTS Miri ditutup esok untuk tujuan pensanitasian

MIRI: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Miri akan ditutup sementara pada 22 Januari ini sebagai langkah keselamatan dan kesihatan.
JTS dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“JTS komited untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua dengan menetapkan SOP yang ketat bagi pengoperasian pejabat pada masa ini bagi mencegah penularan pandemik Covid-19,” katanya, hari ini.
Menurut JTS, antara langkah kawalan yang diambil adalah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa.
“Orang awam dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh JTS menerusi aplikasi Mobile Lasis dengan menggunakan telefon pintar yang boleh dimuat turun di dalam Play Store atau App Store.
“JTS turut menawarkan perkhidmatan dalam talian iaitu e-Lasis yang dapat dilayari dengan menggunakan komputer,” jelasnya.
Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi di talian 082-444111 atau emel kepada landsurvey@sarawak.gov.my.

Suara Sarawak