KUCHING: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
Dia dituduh terlibat dalam kes bapa menjual anak untuk tujuan aktiviti seksual dengan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, iaitu memasukan jarinya ke dalam kemaluan mangsa di sebuah rumah tidak bernombor, Jalan Matang, pada tahun 2021.
Tertuduh, 45, staf di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 14 Akta yang sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 28 November depan dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM5,000 beserta dua penjamin tempatan.
Difahamkan, tertuduh merupakan rakan bapa mangsa yang melanggan mangsa untuk tujuan seksual.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, bapa kepada kanak-kanak terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)b Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sepuluh tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, 45, didakwa mengabaikan anak perempuan kandungnya berusia 10 tahun hingga menyebabkan penderaan seksual.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 28 November depan, selain membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM8,000 beserta dua penjamin tempatan.
Difahamkan, mangsa kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).
Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang iaitu Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Ruvinasini Pandian.