Jual diri demi anak

KUCHING: Seorang warga Thailand yang mengaku bersalah menjual diri bagi menyara anaknya yang masih menuntut di universiti di Thailand dikenakan denda RM3,500 ataupun empat bulan penjara semalam.

Majistret Zubaidah Sharkawi mengarahkan Pakprasertpon Jaratsri, dikenakan denda setelah mengaku bersalah mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Pakprasertpon, 51, menjalankan aktiviti tidak bermoral itu demi mendapatkan wang secara mudah bagi menyara anaknya yang sedang menuntut di sebuah universiti di negara asalnya

Tertuduh ditemui sedang melayan seorang pelanggan lelaki yang dikenakan bayaran RM150, jam 4.50 petang di sebuah pusat terapi dan refleksologi di tingkat 1, Jalan Wan Alwi di sini pada 3 September lalu.

Menurut fakta kes, intipan dan tangkapan dijalankan terhadap tertuduh yang sedang melayan pelanggan dengan bayaran RM150. Ketika tangkapan, polis merampas bahan bukti termasuk wang RM150 daripada tertuduh. Tertuduh membayar denda berkenaan. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Nur Shafika Ilin sementara tertuduh diwakili peguam Lim Lian Kee.

….Untuk berita lainnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 18 Mac 2021

Suara Sarawak