Jual juadah berbuka puasa atas talian sahaja

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengambil keputusan untuk membenarkan peniaga menjual makanan atas talian sahaja sepanjang bulan Ramadan yang bermula hari ini.

Ahli Jawatankuasa Operasi Covid-19 Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, waktu operasi pula hanya dibenarkan dari jam 7 pagi hingga 7 malam, sama seperti perkhidmatan perlu yang lain.

“Peniaga hanya dibenarkan untuk menjual makanan atas talian melalui e-bazar Ramadan. Keputusan terbabit diambil selepas mempertimbangkan pelbagai pandangan masyarakat mengenai jualan makanan semasa bulan Ramadan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini kelmarin.

Rabu lalu, JPBN membenarkan peniaga makanan beroperasi di pekarangan kediaman dalam lingkungan terhad secara bungkusan sepanjang bulan Ramadan.

Malah, waktu beroperasi pula dibenarkan dari jam 3 petang hingga 10 malam. Bagaimanapun, keputusan itu telah membanjiri media sosial dengan pelbagai komen sekali gus menjadikannya sebagai isu hangat diperkatakan.

Abdul Karim menambah, selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, JPBN akur terdapat kelemahan akan keputusan tersebut dan perlu dinilai semula.

“Terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana memberi pandangan dan kritikan dan kita terbuka mendengarnya. “Maka, JPBN amat peka dengan pandangan konstruktif yang telah disuarakan oleh orang ramai demi kepentingan bersama,” tegasnya.

Menurutnya, peniaga dan orang ramai yang ingin mendaftar untuk urusan jual beli atas talian, boleh memuat naik beberapa aplikasi yang telah disediakan seperti perkhidmatan Helply, Grabfood dan Foodpanda.

“Malah, aplikasi pembekalpembekal makanan lain yang menyediakan perkhidmatan penghantar juga dibenarkan.

“Bagi tujuan menjamin keselamatan dan kebersihan penyediaan makanan, pembekal makanan disarankan untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Suara Sarawak