Jual kereta tampung hidup

KUCHING: Pemandu pelancong, Mohd Yazid Ahmad Maeraj Talip terpaksa menjual sebuah keretanya untuk meneruskan kelangsungan hidup, selepas perkhidmatan pengangkutan yang diusahakannya sejak 15 tahun lepas musnah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac lalu.

Menurut pemilik Ajek Transport & Tour Kuching itu, beliau juga hanya bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Sudah hampir setahun saya menjadi penganggur, kereta pun dijual untuk bertahan setakat yang mampu,” katanya yang ditemu bual, semalam.

Menceritakan lanjut, lelaki berusia 46 tahun itu yang mempunyai tiga anak baru menamatkan pengajian di universiti berkata, sebelum ini, perusahaannya bergantung kepada pelancong dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Mohd Yazid berkata sebelum PKP, pendapatannya begitu baik dengan jumlah penumpang mencecah 80 orang sehari dan paling sedikit 20 orang, yang datang melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Biawak dan CIQ Tebedu.

“Dahulu saya membawa pelancong dari Singkawang dan Pontianak ke Kuching tetapi sekarang tidak lagi selepas pintu sempadan ditutup,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata beliau reda dengan ketentuan perusahaannya disebabkan oleh Covid-19 yang tidak dapat dielakkan.

Walaupun berharap pintu sempadan dapat dibuka secepat mungkin, namun beliau masih belum berani untuk mengambil pelanggan dari negara jiran secara sembarangan kerana khuatir dengan tahap kesihatan mereka.