Jualan buku pandu lalu

SARIKEI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru mengambil inisiatif tersendiri dengan melaksanakan proses jual beli barangan koperasi secara pandu lalu.

Pengetuanya Saini Bakar memberitahu, pembukaan sesi persekolahan banyak berubah ekoran pandemik Covid-19.

Menurutnya, bukan sahaja aspek Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tetapi proses jualan pakej koperasi juga terpaksa dilakukan secara pandu lalu tanpa penglibatan anak-anak.

“Bagaimanapun Alhamdulillah, para ibu bapa memberikan kerjasama yang amat bagus sehingga jualan pakej koperasi berjalan lancar mengikut jadual.

“Mungkin ada rasa sedikit janggal, namun inilah yang kita fikirkan terbaik sesuai dengan norma baharu untuk mengelakkan kesesakan di sekolah, kerana kita masih tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, jualan pakej koperasi secara pandu lalu melibatkan semua pelajar tingkatan satu hingga lima bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari.

“Ibu bapa pelajar diarah datang berperingkat-peringkat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kemudian, mereka mendapatkan pakej masing-masing secara pandu lalu di dua lokasi iaitu kantin dan ruang masuk sekolah.

“Kesemua pakej telah disediakan awal oleh pihak koperasi sekolah bagi menampung keperluan pelajar sesi 2021,” ujarnya.

Difahamkan pihak koperasi berjaya mengumpul RM53,965.50 hasil jualan pakej tersebut.

Saini yang dilantik sebagai pengemudi baharu sekolah berkenaan dalam pada itu berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam usaha membawa SMK Sarikei Baru ke tahap yang tinggi.

Beliau memohon komitmen para guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri untuk memastikan keberhasilan dan keberkesanan dalam PdPR.

Suara Sarawak