KUCHING: Orang ramai dialu-alukan ke acara jualan kilat tiket Festival Musik Hutan Hujan Sedunia 2023 (RWMF23) yang berlangsung selama tiga hari di tiga pusat beli-belah di Sarawak.
Menurut kenyataan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), jualan kilat tersebut akan diadakan di Vivacity Megamall Kuching, Plaza Merdeka Kuching dan Bintang Megamall Miri dari 10 pagi hingga 10 malam, bermula esok hari sehingga 11 Jun ini.
“Orang ramai yang membeli tiket di lokasi-lokasi ini berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi tiket tambahan ke festival dengan terma dan syarat terpakai,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu menurut STB, tiket pra-jualan boleh didapati dalam pelbagai kategori iaitu pas masuk satu hari dewasa adalah pada harga RM230 bagi Jumaat atau Ahad manakala RM260 bagi Sabtu.
“Pas masuk selama dua hari bagi golongan dewasa adalah RM440 bagi Jumaat dan Sabtu atau Sabtu dan Ahad manakala RM590 bagi kemasukan tiga hari.
“Tiket golongan kanak-kanak selama satu hari dicaj pada harga RM80 di bawah tawaran tempoh terhad,” kata kenyataan itu.
RWMF edisi ke-26 terus menjanjikan pengalaman unik yang menggabungkan muzik, budaya dan alam semula jadi dengan melibatkan persembahan pemuzik tempatan dan antarabangsa.
Ia bakal menampilkan barisan jemputan artis luar negara termasuk pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings dari Perancis, Big Mountain dari Jamaica, ‘Safi Theatre’ (Tanzania), ‘Rastak’ (Iran), ‘Fasylive’ (Maldives), ‘Afriquoi’ (United Kingdom), ‘Chatusram’ (India), ‘Rizal Hadi & Folk’ (Indonesia), ‘Thai Fusions Sound Band’ (Thailand) dan banyak lagi dari Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.