SEBUYAU: Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Datuk Julaihi Narawi 2013 (Menteri Utiliti Dan Komunikasi/ADUN Sebuyau) akan melabuhkan tirainya di Kampung Sebangan, Sebuyau petang esok.
Sekali gus, bakal terjawab pasukan yang akan dinobat selaku juara musim ini.

Dengan empat pasukan, Armada SV, Ensengei Vet FC, Lariwoo FC dan Tedong Melancar akan turun beradu nasib untuk memburu slot ke pentas final yang dijadual berlangsung pukul 3 petang.
Pengerusi Kejohanan, Osman Jamil memberitahu, kesemua empat pasukan terbabit akan membuat perhitungan di peringkat separuh akhir terlebih dahulu yang dijadual berlangsung pagi.
“Separuh akhir pertama, Lariwoo FC akan menentang Tedong Melancar pada jam 9 pagi. Disusuli satu lagi perlawanan separuh akhir antara juara bertahan, Armada SV dan Ensengei Vet FC jam 10 pagi,” jelas Osman kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Osman, pasukan yang berjaya mengatasi lawan masing-masing akan berentap di pentas final.
Pasukan yang berjaya bergelar juara akan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala dan jersi.
Berbanding tempat kedua yang akan menerima wang tunai RM3, 000, piala dan jersi.
“Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM1,500 selain piala dan jersi selaku pemenang tempat ketiga bersama,” tambah Osman lagi.