MASYARAKAT Arab muslim memperkenalkan tiga ciptaan untuk Eropah.
Setiap ciptaan ini kemudiannya membentuk revolusi teknologi tersendiri di peringkat global.
Pertama ialah kompas, yang menyaksikan Eropah berkembang ke serata dunia.
Kedua, ubat bedil (gun powder), melaluinya berakhirlah era pahlawan berkuda dengan baju perisainya.
Ketiga kertas, ia membuka jalan kepada ciptaan alat penerbitan yang canggih.
Apakah faktor yang menyebabkan mereka cemerlang?
Apakah proses yang perlu dilalui?
Yang pasti, salah satu sebabnya ialah al-Quran.
Mereka cemerlang, terbilang, gemilang dan unggul kerana kesan daripada rangsangan al-Quran.
Buku ini amat sesuai untuk golongan pelajar menengah atas atau pelajar universiti.
Malah ia juga amat sesuai untuk rujukan guru, pensyarah atau mereka yang ingin mengkaji tentang kehebatan al-Quran.
Menurut penulis, Dr. Danial Zainal Abidin, setiap perubahan perlu bermula daripada minda.
Apabila minda betul, maka cara berfikir kita akan menjadi betul.
Malah ia mengubah paradigma lama, berkenaan kehidupan dan cara kerja kepada sesuatu yang lebih mantap.
Cemerlang dalam konteks Islam, bukan sekadar cemerlang di dunia, tetapi kecemerlangan hakiki, iaitu kecemerlangan kemuncak yang tidak memerlukan kecemerlangan lain selepas itu.
Islam tidak memandang kecil kecemerlangan di dunia, namun kecemerlangan di dunia hanya bermakna apabila ia menjadi alat bagi mencapai kecemerlangan di akhirat.
Dr. Danial mendedahkan; “Hati memerlukan ilmu dan hikmat agar dengannya nafsu syahwat dan marah dapat dikekang untuk melaksanakan perkara yang bermanfaat.”
Malah menurutnya, orang yang berilmu juga boleh terpedaya dengan ilmunya.
Dalam hal ini, Imam Ghazali menjelaskan; “Antara golongan yang terpedaya ialah ahli fikah yang menguasai ilmu ketaatan, tetapi tidak mengamalkannya.
Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.
Sebahagian yang lain mengetahui tentang kepentingan akhlak, tetapi tidak menghiaskan diri mereka dengannya.
Inilah ulama yang tertipu.
Malah, ada golongan yang berilmu dan mengamalkannya, tetapi hanya untuk kepentingan diri atau pengaruh. Mereka ujub atau kagum dengan diri mereka sendiri.
Oleh itu, orang yang benar-benar berilmu, tahu akan kepentingannya, tahu untuk menyampai dan mengamalkannya… malah mereka juga sedar, segalanya kerana Allah yang maha esa.
Menurut Dr. Danial, untuk cemerlang kita perlu menguasai ilmu dan hikmat.
Ke mana sahaja kita pergi, bawalah buku bersama.
Apabila buku sentiasa berdampingan dengan kita, maka senanglah untuk kita mendampinginya.
Pastikan ada ilmu baharu yang kita peroleh setiap hari, dan ia hendaklah ditulis bersama dengan sumber rujukannya.
Dengan cara ini, ilmu itu tidak mudah luput daripada kehidupan kita.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Fathul Mausuli menegaskan; “Tidakkah jika seseorang itu sakit dan tidak menjamah makanan dan minuman, dia akan mati?
Begitu juga dengan hati kita, jika tidak diberikan hikmat dan ilmu selama tiga hari, ia juga akan mati.”
Dalam konteks sekarang ini, teknologi merupakan alat yang wajar dimanfaatkan untuk kecemerlangan.
Misalnya Internet boleh digunakan sebagai saluran untuk berdakwah, manakala televisyen digunakan untuk menerapkan nilai murni.
Teknologi perlu disuluh dengan nilai dan agama bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Ini kerana tanpa kedua-duanya, umat manusia terdedah kepada kebinasaan dan kemusnahan.
Buku ini mempunyai 36 bab atau tajuk kecil. Setiap tajuk dikupas menggunakan bahasa mudah untuk difahami, serta padat dengan isi.
Setiap kupasan bermula dengan petikan ayat al-Quran, dan isi meliputi perkembangan semasa yang dikaitkan dengan kutipan ayat al-Quran serta contoh kejayaan silam para ilmuan Islam.
Setiap bab kecil diakhiri dengan kesimpulan.
Gaya bahasa yang menarik, dan setiap bab yang tidak terlalu panjang menjadikan buku ini cukup memikat, yakni tidak membosankan.
Anda boleh bermula dari mana-mana bab, kerana setiap isi tidak bersambung dengan bab lain, walaupun ia berkaitan.
Ada beberapa bab yang hanya mempunyai lima halaman, namun kebanyakan bab mempunyai sembilan hingga 12 halaman.