SEBUYAU: Calon GPS Sebuyau Datuk Julaihi Narawi telah menunaikan tanggungjawab mengundi pada jam 8.22 pagi ini di pusat pengundian di Dewan Masyarakat Sampat Sebangan, dekat sini.
Turut hadir mengundi adalah isterinya, Datin Saadiah Buji serta ahli-ahli keluarga yang lain.
Julaihi menerusi Facebook rasminya juga menyeru kepada semua pengundi di kawasan Dun Sebuyau untuk turun mengundi awal bagi memudahkan urusan harian mereka.
“Jangan lupa bawa kad pengenalan, menggunakan pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Kepada yang memandu dan menunggang motosikal, berhati-hati dijalan raya,” ujarnya.
Untuk rekod, seramai 9,367 pengundi berdaftar di Dun Sebuyau.
Dun Sebuyau juga bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) melibatkan Julaihi (calon GPS); Wan Chee Wan Mahjar (calon Parti Bumi Kenyalang-PBK); dan Maxwell Rojis Parti Amanah Negara (Amanah).
