Jumlah gelandangan meningkat sepanjang PKP

KUCHING: Jumlah gelandangan meningkat sebanyak lima peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Katanya, semasa PKP, kementeriannya berkolaborasi dengan PDRM di daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian untuk mengenal pasti gelandangan di Sarawak.

“Setakat 5 April, seramai 120 gelandangan berjaya dikesan dan 98 orang (82 peratus) adalah lelaki.

“Jumlah ini meningkat lima peratus daripada 114 orang yang dikesan sebelum PKP dikuatkuasakan,” katanya dalam suatu kenyataan media, semalam.

Tambah Fatimah, pihaknya sentiasa memantau kesejahteraan komuniti gelandangan sepanjang tempoh PKP bersama-sama pelbagai rakan strategik untuk mengesan kedudukan dan status gelandangan sejak 24 Mac lalu.

“Bahagian Miri mempunyai bilangan gelandangan yang teramai iaitu 44 orang, diikuti Sibu 17 orang, Kuching 14 orang, Bintulu 13 orang, Sri Aman dan Kapit masing-masing sembilan orang, Limbang dan Sarikei masing-masing enam orang manakala Serian dua orang.

“Statistik gelandangan yang dikesan mengikut etnik pula, etnik Iban antara yang teramai iaitu 43 orang (36 peratus), diikuti oleh Melayu 36 orang (30 peratus), Cina 24 orang (20 peratus), Kayan dan Bidayuh masing-masing empat orang, Melanau dan Penan masing-masing tiga orang, Kenyah dua orang dan Kedayan seorang,” ujarnya.

Jelasnya, 66 daripada mereka mempunyai status kesihatan yang memuaskan, 49 orang lagi ada isu kesihatan mental manakala baki ada masalah sakit kencing manis, penagihan dadah dan masalah pendengaran.

“Kementerian menyediakan beberapa pusat sementara untuk menjaga kesejahteraan mereka.

“Pusat penempatan sementara disediakan di lima daerah iaitu lapan di Anjung Singgah Kuching, empat di Rumah Rehat Kerajaan Sibu, lima di Asrama Belia Kompleks Sukan Sarikei, 31 orang di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah Miri dan enam lagi di Rumah Maksak Limbang.

“Mereka diberi sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam selain saringan kesihatan dan ujian air kencing.

“Pengalaman memantau, mengesan, menyelamat dan membantu golongan ini semasa PKP memberi peluang yang tidak ternilai untuk mengkaji semula metodologi, mekanisme dan pendekatan intervensi sosial bagi menangani isu yang dihadapi gelandangan ini,” katanya.

Suara Sarawak