ARTIKEL

RAKAMAN KENANGAN… Francis (tengah) merakam kenangan bersama tetamu kehormat dan wakil lain.

Jumlah kekosongan jawatan di Sarawak kelima terbanyak di negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sistem Maklumat Tenaga Kerja Sarawak (SWIS) yang dijadual siap tahun ini memainkan peranan penting untuk mengumpul data berkaitan landskap pekerjaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Francis Harden Hollis, berkata ia adalah sistem dalam talian berasaskan laman sesawang untuk menangkap data bekalan dan permintaan tenaga kerja semasa serta unjuran bagi mengurangkan pengangguran, termasuk lebihan bekalan siswazah di peringkat institusi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis

Katanya, sebagai contoh, menurut Poket Statistik Q2 2023 dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sarawak berada dalam lima teratas jumlah kekosongan jawatan mengikut negeri.

“Ia susulan terdapat 4,494 kekosongan jawatan pada suku pertama 2023, dan 4,275 pada suku keempat 2022 di negeri ini. Adakah ini kerana ketidakpadanan atau kekurangan bekalan?

“Justeru, dengan kewujudan SWIS, pengambilan data adalah penting untuk Sarawak mengkaji, menganalisis dan mengisi data bekalan serta permintaan untuk perancangan tenaga kerja bagi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus SWIS di Auditorium Sarawak Skills di sini, hari ini.

Baca lain  PRK Jepak; Jangan sia-siakan undi, pilih pemimpin terbaik

Tambahnya, MEITD sedang merancang untuk mempertingkatkan lagi SWIS bagi memberi manfaat kepada institusi dan pengguna industri apabila mendaftar di dalam sistem pangkalan data itu.

Untuk rekod, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa SWIS, yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dijadual siap tahun ini sekali gus dapat mewujudkan sistem pangkalan data pasaran buruh yang komprehensif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU