Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan kadar penurunan

KUCHING: Setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Sarawak merekodkan penurunan kepada 1,011 keluarga dan 3,780 mangsa.
Justeru, terdapat 43 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir dari Kuching, Samarahan, Serian dan Miri.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), jumlah mangsa banjir yang mengalami penurunan adalah di PPS SJK Chung Hua Sungai Tengah yang menurun kepada 24 keluarga dan 92 mangsa.
Ekoran itu, bahagian yang masih terjejas adalah daerah Kuching iaitu terdapat 23 PPS dibuka bagi menempatkan 580 keluarga dan 2,191 mangsa.
Dalam pada itu, bagi daerah Bau, sebanyak lapan PPS dibuka bagi menempatkan 113 keluarga dan 485 mangsa.
Manakala, satu PPS dibuka di Samarahan menempatkan tujuh keluarga dan 29 mangsa serta di daerah Miri, satu PPS turut dibuka untuk menempatkan satu keluarga dan tujuh mangsa.

Suara Sarawak