Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kian menurun

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Sarawak, Pahang dan Sabah semakin pulih pagi tadi apabila jumlah mangsa di ketiga-tiga negeri itu kian menurun, namun mangsa di Johor kekal sejak semalam.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan sedikit kepada 4,247 orang pagi tadi berbanding 4,343 orang, malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan sebanyak 51 PPS masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lepas.
Bahagian Kuching masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 2,853 orang di 33 PPS, diikuti Serian (1,068 orang di 10 PPS), Samarahan (319 orang di tujuh PPS) dan Miri (tujuh orang di satu PPS).
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir pada pagi tadi ialah seramai 5,913 orang daripada 1,632 keluarga yang masih berada di 77 PPS.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan Pekan masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,928 orang diikuti Maran (1,487 orang), Kuantan (849 orang), Temerloh (392 orang) dan Bera (257 orang).
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my melaporkan selepas lebih seminggu berada pada paras bahaya, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran akhirnya turun ke paras amaran pagi tadi dan Serambi di Pekan kini merupakan satu-satunya lokasi di sungai itu yang masih berada pada paras bahaya.
Turut mencatat paras bahaya ialah Sungai Jelai di Lipis yang mula merekodkan bacaan demikian sejak banjir mula melanda Pahang pada 3 Jan lepas.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi tadi, berkurangan kepada 183 orang daripada 51 keluarga berbanding 313 orang daripada 84 keluarga, petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu semua mangsa banjir itu ditempatkan di lima pusat PPS di tiga daerah negeri ini iaitu Pitas (dua), Beaufort (satu) dan Paitan (dua).
“Dua PPS ditutup pagi ini iaitu Dewan Kolej Vokasional Pertanian, satu-satunya PPS di Lahad Datu, manakala satu lagi Sekolah Kebangsaan Salimpodon di daerah Pitas.
“Sebanyak 120 kampung masih terjejas dan pihak berkaitan sedang memantau keadaan paras air di semua kawasan. Keadaan cuaca masih pada tahap waspada dengan ramalan ribut petir pada pagi dan petang manakala hujan pada sebelah malam di beberapa tempat,” kata sekretariat itu.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga di dua PPS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat, setakat 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata 76 orang daripada 20 keluarga merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat manakala 17 orang melibatkan tiga keluarga yang merupakan penduduk Kampung Talang Bunut, Batu Pahat.
Mangsa banjir di Segamat ditempatkan di PPS Sekolah Agama Gemereh manakala di Batu Pahat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut.