Jumlah tahanan ingkar PKP tunjuk trend penurunan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Jumlah tangkapan ingkar Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan trend penurunan dengan hanya 386 individu ditahan semalam berbanding 550 pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan berharap trend penurunan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar PKP akan berterusan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat yang kita lihat mula menyedari dan mematuhi setiap arahan PKP.

“Terima kasih juga kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua agensi yang terlibat bagi memastikan pematuhan rakyat ini dapat ditingkatkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri selanjutnya berkata daripada 386 individu yang ditahan, 332 telah direman dan 54 dijamin polis.

Beliau berkata, 649 individu juga dituduh di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam ialah 19,434 individu,” katanya.

Ismail Sabri berkata setakat semalam, PDRM bersama ATM telah mengadakan sebanyak 830 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 537,320 kenderaan.

“Sebanyak 40,892 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 5,817 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan bagi mereka yang ingkar PKP telah mula beroperasi.

“Setakat ini, 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP telah dihantar ke penjara sementara itu,” katanya.

Mengenai Ops Sanitasi Awam, beliau berkata semalam, 128 operasi sanitasi meliputi 38 zon merah dan kuning di 11 negeri, termasuk 31 kawasan di Johor dan 31 di Perak telah dijalankan, merangkumi enam bangunan kerajaan, 135 tempat awam, 107 pusat perniagaan dan 103 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Secara keseluruhan, sejak 30 Mac lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melakukan 4,064 operasi sanitasi di 126 zon termasuk di 13 Zon Merah yang merangkumi 7,930 bangunan kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah disanitasi.