KUCHING: Jumlah wanita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia mencatatkan peningkatan daripada 8,638 orang pada 2024 kepada 8,926 orang pada tahun lepas.
Menurut Bernama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh menyatakan bahawa golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kelompok paling ramai terlibat dengan jumlah 6,193 orang, diikuti oleh golongan dewasa berusia 40 hingga 59 tahun seramai 2,567 orang dan remaja seramai 166 orang.
Menurut beliau, dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants menjadi bahan terlarang yang paling banyak diambil oleh wanita dengan 7,588 kes, diikuti oleh opiat, ganja, pil psikotropik, serta bahan lain termasuk ketum dan kokain.
Ruslin menjelaskan bahawa laporan daripada United Nations on Drugs and Crime (UNODC) mendapati cabaran wanita untuk mendapatkan rawatan adalah lebih kompleks berbanding lelaki kerana faktor halangan sistemik, emosi, serta stigma masyarakat yang menganggap penagihan dalam kalangan wanita sebagai kegagalan moral yang besar.
Bagi menangani kekangan logistik dan kewangan, kerajaan melalui pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa 22 Ogos 2025 membolehkan wanita mendapatkan rawatan secara sukarela secara percuma, selain penyediaan perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) AADK ke kawasan pedalaman.






