Jumpa anak selepas baca Yassin

SIBU: Tiga hari dilaporkan hilang seorang kanak-kanak akhirnya dijumpai lemas oleh penduduk kampung di Sungai Bidut semalam.

Mayat, Julia Purnama, berusia tujuh tahun ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak berkata, penemuan mayat kanak-kanak itu dimaklumkan oleh bapa mangsa yang menghubungi bilik kawalan Bomba pada 11.30 malam tadi.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu sepasukan Bomba dikerahkan ke lokasi bagi mengesahkan penemuan berkenaan.

“Kita difahamkan penduduk mengadakan majlis bacaan Yassin beramai-ramai sebelum mencurahkan air bacaan yasin di tempat kejadian.

“Sejurus itu mayat mangsa dilaporkan timbul kira -kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang. Mayat diambil oleh bapa dia sendiri dengan bantuan orang kampung sebelum diserahkan kepada Polis sebagai tindakan susulan, ” katanya.

Dalam kejadian pada Ahad itu, mangsa dilaporkan mandi bersama sepupunya yang berusia 10 tahun.

Sepupu mangsa berjaya diselamatkan, namun Julia dilaporkan hilang.

Mayat Julia Purnama diserahkan kepada pihak Polis sejurus dijumpai oleh penduduk di Sungai Bidut Sibu, semalam.

Suara Sarawak