Jumpa kubur berusia 100 tahun

LIMBANG: Pihak kontraktor menemui kubur lama dipercayai berusia lebih 100 tahun ketika sedang menjalankan kerja pembinaan jalan raya IpaiPandam, semalam.
Sejurus penemuan itu, pihak kontraktor memaklumkan perkara tersebut kepada Ketua Kampung Lubok Segantang, Latip Majit. Latip Majit memaklumkan bahawa kubur yang ditemui itu sudah berusia lebih 100 tahun.
Ketua kampung kemudian meminta Jabatan Agama Islam (JAIS) untuk memindahkan kubur tersebut ke tanah perkuburan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihak JAIS bersama-sama dengan beberapa agensi lain terlibat dalam proses pemindahan kubur.
“Kerja-kerja pemindahan bermula pukul 9.00 pagi hingga 1 petang ke Tanah Perkuburan Islam, Lubok Sigantang dengan kerjasama polis, JAIS, Kementerian Kesihatan, penduduk kampung dan syarikat pembinaan terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Abang Zainal menjelaskan tiada sebarang penemuan rangka manusia atau keranda semasa penggalian dilakukan.
“Selepas pengalian sedalam dan selebar 10 kaki, tiada sebarang rangka dan keranda ditemui.
“Ketua Kampung berpuas hati dengan usaha yang dijalankan dan bersetuju penggalian dihentikan dan hanya memindahkan batu nisan ke tempat baharu,” katanya.

Suara Sarawak