NAMA Jungkook, anggota kumpulan sensasi Korea Selatan BTS, sekali lagi menjadi bualan hangat di media sosial.
Namun, kali ini perhatian yang diterima bukan berkaitan muzik, pencapaian kerjaya atau penampilannya, sebaliknya melibatkan isu kebajikan anjing peliharaannya yang dikenali sebagai Bam.
Perkara itu mula mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai apabila Jungkook didakwa masih belum membawa pulang Bam walaupun telah menamatkan perkhidmatan ketenteraan pada Jun lalu.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan dan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam kalangan peminat setianya.
Menurut laporan, Bam dipercayai masih ditempatkan di pusat pemeliharaan.
Keadaan itu mengundang tanda tanya ramai pihak yang tertanyatanya mengapa Jungkook masih belum menjaga sendiri anjing kesayangannya itu.
Bagi sebahagian peminat, Bam bukan sekadar haiwan peliharaan biasa, sebaliknya dianggap seperti ‘anak’ kepada Jungkook.
Justeru, tindakan atau kelewatan membawa pulang Bam dilihat seolah-olah mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan tersebut.
Kekecewaan orang ramai semakin memuncak apabila ada yang mendakwa Jungkook sudah pun membawa pulang ahli keluarga, rakan lama dan individu rapat ke kediamannya.
Namun, Bam yang sebelum ini sering disebut dan ditunjukkan kepada peminat masih belum kelihatan bersama penyanyi itu. Situasi tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk komen keras dan kritikan terbuka.
Ada juga yang meluahkan rasa kecewa kerana merasakan kebajikan Bam seharusnya menjadi keutamaan Jungkook selepas tamat khidmat ketenteraan.
“Seriuslah, Jungkook tidak pedulikan anjing peliharaannya sendiri,” tulis salah seorang peminatnya, manakala ramai lagi turut berkongsi perasaan sedih dan marah terhadap apa yang dianggap sebagai sikap tidak bertanggungjawab.
Namun begitu, terdapat juga segelintir peminat yang cuba bersikap lebih rasional.
Mereka berpendapat Jungkook mungkin mempunyai alasan tertentu, termasuk faktor jadual kerja, keselamatan atau kesejahteraan Bam sendiri.
Sebahagian ARMY (peminat setia BTS) turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat andaian melulu tanpa penjelasan rasmi daripada Jungkook atau pihak pengurusannya.
Menurut mereka, kebajikan haiwan peliharaan selebriti biasanya diuruskan dengan teliti dan profesional.
Untuk rekod, Jungkook pertama kali memperkenalkan Bam kepada peminat pada Oktober 2021.
Ketika itu, Bam muncul dalam rancangan realiti popular BTS In The Soop musim kedua. Kehadiran Bam dalam rancangan tersebut nyata mencuri perhatian ramai.
Anjing baka Doberman itu menerima kasih sayang luar biasa daripada peminat BTS yang melihat hubungan erat antara Jungkook dengan Bam.
Sejak itu, Bam sering menjadi topik perbualan dalam kalangan ARMY, malah dianggap sebagai salah satu ‘ikon’ kecil dalam kehidupan peribadi Jungkook.
Oleh itu, isu melibatkan Bam mudah mencetuskan emosi peminat.
Setakat ini, Jungkook masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.
WWPeminat berharap penyanyi itu tampil memberi penjelasan agar spekulasi dapat dihentikan dan kebajikan Bam terus terjamin.






