Jurufoto jual air tebu

KUCHING: Secupak tidak akan jadi segantang.

Peribahasa ini tepat menggambarkan semangat Syed Hazrul Afif Syed Ahmad Tarmizi, 25, yang bijak mengambl inisiatif membuka perniagaan air tebu bergerak setelah punca pendapatannya sebagai jurufoto profesional terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut anak muda ini, kerjayanya sebagai jurufoto terjejas teruk sepanjang bulan lalu kerana tiada permintaan.

Kini dia berniaga air tebu untuk membantu dirinya selain membayar sewa kedai dan tanggungan lain.

Dia memulakan perniagaan itu bersama-sama adik-beradik yang lain di rumahnya di Taman Makmur Indah Kota Samarahan.

Setiap hari lebih 500 kilogram batang tebu akan diproses untuk menghasilkan air tebu.

Bekalan tebu diperoleh dari Kampung Asajaya. “Selalunya seawal jam 8 pagi, kami sudah mulakan proses memerah tebu ini.

Penghantaran menggunakan van dan pembayaran tunai semasa serahan (COD) akan dimulakan pada jam 2 petang di sekitar Samarahan hingga Kuching.

“Ekoran ramai yang sukar keluar ruman sepanjang PKP, kami bantu mereka melalui penghantaran.

Kami juga mendapat kebenaran pergerakan daripada polis,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, air tebu bergerak jenama Budak Temu itu kini menerima tempahan menggalakkan sebagai antara minuman wajib ketika berbuka puasa.

Jelasnya, ia dijual RM3.50 sebungkus.

Dia dapat menjual antara 200 hingga 300 bungkus sehari menggunakan van.

Manakala 100 bungkus lagi dijual di dua pusat sehenti iaitu di Samarahan dan Tabuan Foochow.

“Perolehan sehari memang tidak menentu. Secara kasar sebanyak RM500 sehari.

“Kami mengutamakan kebersihan dan keselamatan ketika menyediakan air tebu dan penghantaran.

“Ekoran pandemik Covid-19 ini, aspek kebersihan terus menjadi keutamaan.

“Oleh itu, setiap bungkusan air tebu akan dicuci sebelum diberikan kepada pelanggan. Kami juga mengutamakan penjarakan sosial,” tambahnya lagi.

Hubungi talian 011-14143743 untuk tempahan.

Suara Sarawak