SIBU: Minat dalam kerjaya kejururawatan dan perasaan ingin membantu orang ramai mendorong pesara jururawat, Margeret Wong, 65, berkhidmat di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS).
“Saya gembira dan terlalu cinta akan kerjaya sebagai jururawat malah teruja kerana diberi peluang untuk menabur bakti membantu petugas barisan hadapan dalam usaha membendung wabak Covid-19 ini”, ujar Margeret.
Beliau juga menyambung khidmat dengan Kampus Klinikal Universiti SEGi Sibu berkata, beliau teruja bersama-sama rakan seperjuangan menjadi sebahagian insan yang membantu negara melawan pandemik Covid-19.
Pengalaman beliau selama lebih 40 tahun bertugas sebagai jururawat digunakan sepenuhnya untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat di Sibu khususnya.
“Semua orang mesti menerima vaksin supaya kita boleh mencapai imuniti kelompok”, katanya lagi. Menurut Margeret, bidang kejururawatan ini sudah sebati dalam dirinya kerana berkecimpung sejak 1977 dan pengalaman inilah yang memberi ilmu sangat berharga.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Jabatan Penerangan pada hari pertama pembukaan PPVIN Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS), Sibu.
Dijangka kira-kira 14,000 pekerja sektor perindustrian menerima suntikan vaksin Covid-19.