ARTIKEL

Pemilik syarikat Temin Legacy Sdn Bhd Mejar (B) Mohd Farid Daud (tengah) melihat dron udara (UAV) dan darat (UGV) yang digunakan bagi meracun dan membaja di ladang integrasi moden di Labu Hilir dekat sini. Ladang seluas 15 ekar itu mampu mengeluarkan hasil tanaman pertanian dan makanan sehingga 200 tan setahun dengan potensi pulangan minimum RM600,000.

Jurutera, juruterbang beralih angin jadi usahawan tani

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

NILAI: “Berbudi pada tanah lambat laun akan dapat hasilnya’.

Ungkapan itu sesuai digambarkan mengenai usaha dua anak muda yang memilih untuk bersara awal daripada berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beralih ke bidang pertanian sejak tiga tahun lepas.

Mejar (B) Mohd Farid Daud, 37, berkata pengalaman dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan penerbangan selama 10 tahun tidak disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membangunkan ladang integrasi tanaman dan ternakan di Labu Hilir dekat sini.

Malah, ladang seluas 15 ekar di bawah syarikat Temin Legacy Sdn Bhd yang dimiliki bersama Mohd Farid, rakannya Kapten (B) Ahmad Haziq Mat Hasan, 37, serta abang Farid Mohd Affendy Daud, 43, mampu mengeluarkan hasil tanaman pertanian dan makanan sehingga 200 tan setahun dengan potensi pulangan minimum RM600,000.

“Kita bermula pada 2022 menggunakan modal sebanyak RM100,000… antara tanaman dan ternakan yang ada termasuk pisang, tebu, labu manis, rumput napier, ayam kampung, dan ikan keli dengan kebanyakan benih pada peringkat permulaan dibeli daripada pembekal dari Banting, Selangor.

“Hasil pertanian itu kemudian kita pasarkan ke Pasar Borong Selayang, Bandar Baru Bangi serta Seremban selain ada pemborong datang ke ladang kita untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di ladang berkenaan di sini.

Anak kelahiran Pahang itu berkata penglibatan dalam sektor usahawan tani juga berikutan ia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pada masa akan datang selain menyambung legasi keluarga dalam bidang pertanian.

“Keluarga saya ada usahakan beberapa tanaman termasuk nurseri di Jerantut, jadi ‘darah’ itu mengalir dalam diri saya. Sebelum ini pun kami pernah usahakan ladang tanaman seluas 100 ekar di sana, tapi sejak berpindah ke Bangi, saya buat keputusan buka ladang di Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penjagaan tanamannya, beliau berkata rutin merumput, membaja dan meracun akan dilakukan secara berkala mengikut penggiliran plot dan perlu mematuhi jadual tersebut bagi memastikan tanaman berada dalam keadaan baik.

Mengakui pernah berdepan kerugian hampir RM400,000 berikutan faktor ancaman haiwan perosak dan liar yang merosakkan tanaman, namun beliau ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada tanah sekali gus membantu menjamin sekuriti makanan negara.

Mengenai perancangan masa hadapan, Mohd Farid berkata pihaknya sedang mengintai peluang mengembangkan projek pertanian itu dalam skala lebih besar antara 100 ke 300 ekar secara berperingkat sekali gus mengaplikasikan penggunaan dron untuk proses tanaman itu.

“Untuk projek berskala besar, kita akan gunakan teknologi dron kerana ia lebih praktikal dan menjimatkan masa. Ketika ini, kita juga dalam proses mencari pelabur yang berminat untuk projek pertanian berkenaan yang dijangka diusahakan di Pahang.

“Kita turut menyasarkan untuk memasarkan produk hiliran daripada hasil pertanian ini ke pasaran tempatan dan antarabangsa seperti China dan Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Haziq yang juga bekas juruterbang TUDM Subang itu berkata keputusan menceburi bidang itu berikutan melihat potensi besar yang masih boleh diterokai melalui pertanian memandangkan pasaran tempatan dilihat terbuka luas.

Selain itu, beliau berkata penglibatan anak muda sebagai pelapis sangat penting kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk menjayakan industri pertanian sekali gus memastikan kelangsungan hasil makanan dalam negara.

Ahmad Haziq berkata golongan itu perlu mengubah persepsi bahawa pekerjaan tersebut hanya sebagai batu loncatan sebelum mendapat pekerjaan lain atau lebih sesuai untuk golongan veteran atau orang di kampung.

“Tak ramai pemegang ijazah berminat ceburkan diri dalam pertanian, walhal pengetahuan mereka sangat diperlukan termasuk menyesuaikan diri dengan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT) dan kaedah pertanian terkini dengan cepat,” katanya.– BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

KWSP DIJANGKA UMUM INISIATIF AKAUN 3 APRIL INI

KUALA LUMPUR: KWSP dijangka mengumumkan inisiatif  ‘Akaun Fleksibel’ atau Akaun 3 pada April ini yang merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah

Gugurkan ahli kabinet rasuah – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan mana-mana anggota kabinet bawah pimpinannya yang didapati terlibat salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada

2,338 menara telekomunikasi siap dibina

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,338 menara telekomunikasi baharu daripada 3,884 yang dirancang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menaik taraf jaringan jalur lebar di seluruh

67 peratus responden setuju PLKN diwujudkan semula

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus daripada 2,633 responden bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) susulan tinjauan umum yang dilaksanakan sejak 24

BERITA TERBARU