Juruwang cemas, perompak acu parang

MIRI: Juruwang kedai runcit di Jalan Piasau Utara 3G di sini, cemas apabila seorang lelaki tidak dikenali mengacukan parang ke arahnya dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, mangsa yang berusia 18 tahun ketika itu sedang bertugas di kaunter kedai tiba-tiba didatangi seorang lelaki dianggarkan berusia 50-an.

Menurutnya, suspek bertindak mengeluarkan sebilah parang dan mengacu ke arah mangsa melalui tingkap kecil di kaunter kedai tersebut.

Suspek kemudian jelasnya, meminta mangsa menyerahkan wang kepadanya.

“Bagaimanapun, mangsa terus melarikan diri ke tingkat atas kedai tersebut sambil berteriak menyebut ‘perompak’.

“Semasa berada di tingkat atas kedai, mangsa mendapati orang ramai berkumpul di luar kedai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, setelah turun ke tingkat bawah, mangsa menyedari beg sandang yang mengandungi wang tunai sekitar RM800 dan telefon bimbit telah hilang dipercayai diambil suspek.

“Mangsa kemudian mendapati suspek berada di luar kedai dalam keadaan terikat dengan tali pinggang setelah ditangkap oleh orang awam.

“Orang awam kemudian menyerahkan suspek kepada polis peronda dan pengadu buat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Suara Sarawak