Juruwang jadi ejen tambah nilai judi dalam talian

BAU: Seorang juruwang disyaki menjadi ejen tambah nilai judi dalam talian ditahan di premis Borneo Jambusan semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata suspek, 29, diserbu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau ketika menjalankan aktiviti terbabit sekitar jam 10.30 malam.

“Beberapa alatan Kamera Litar Tertutup (CCTV) termasuk monitor, rekoder, serta penyampung USB dan juga seunit telefon bimbit telah dirampas.

“Turut ditemui wang tunai berjumlah RM150 dipercayai barangan kes juga dirampas untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil semakan rekod polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau sebelum ini.

Ujarnya, kes bagaimanapun masih dalam siasatan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun.

TAHAN…Suspek ditahan hasil serbuan polis di lokasi kejadian

 

SERBU…premis di mana suspek ditemui bersama barang rampasan