KUCHING: Persatuan Autisme Kuching (KAA) berjaya mencapai sasaran RM300,000 menerusi Festival Makanan dan Jualan Amal bagi tujuan pengumpulan dana pusat tersebut.
Pengerusi Pengumpulan Dana KAA Connie Yeo Chia Lin berkata, ia merupakan satu rekod baharu kerana dapat meraih dana lebih daripada jumlah yang disasarkan.
“Jadi, kita sangat gembira dan berterima kasih kepada komuniti dan semua yang terlibat termasuk mereka yang menyumbang untuk menjayakan pengumpulan dana ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika berlangsungnya Festival Makanan dan Jualan Amal KAA di Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dana yang dikumpul belum diketahui sehingga tamat program. Bagaimanapun, beliau yakin bahawa dana terkumpul sudah melebihi RM300,000.
“Jadi, kita berjaya mencapai untuk meraih lebih daripada apa yang disasarkan. Kita telah memecah rekod baharu sepanjang 20 kali program ini diadakan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendedahkan bahawa kumpulan dana tersebut akan digunakan bagi tujuan kos operasi pusat KAA sahaja.
“Kami mengalami defisit sebanyak RM750,000 untuk kos operasi setiap tahun. Jadi, dana yang dikumpulkan ini akan digunakan untuk kos operasi keseluruhan Pusat Sumber dan Pendidikan KAA,” jelasnya.
